Ingatkan kain batik, rupanya ular berbisa

geli ular

Gambar menunjukkan sehelai kain yang memiliki corak sama dengan ular berbisa di dalam dapur. – Facebook

VERMONT, AFRIKA SELATAN – Seorang wanita di Afrika Selatan berdepan detik cemas apabila mendapati kain yang dipegangnya adalah seekor ular berbisa, lapor saluran berita Must Share News semalam. 

Kejadian berlaku di rumahnya di Vermont pada 5 Oktober lalu. 

Wanita yang tidak didedahkan namanya itu berkata, corak haiwan berbisa tersebut menyerupai kain yang diletakkan di atas meja. 

“Saya masuk ke dapur dan ternampak sehelai kain berwarna coklat di atas lantai. 

“Coraknya sama dengan corak kain yang diletakkan di atas meja.

“Ketika saya mahu mengambil ‘kain’ itu, saya menyedari bahawa ia bukan kain tetapi ular berbisa,” tambahnya. 

Dalam keadaan panik, dia bergegas menghubungi pakar hidupan liar untuk mendapatkan bantuan. 

Seorang aktivis pemuliharaan hidupan liar berkata: “Ular ini mencari tempat perlindungan yang lebih sejuk berikutan cuaca panas yang melanda selama beberapa hari.” – AGENSI