NEW DELHI – Seorang pesohor media sosial di Delhi, India mengundang kecaman orang ramai kerana menyapu cili hijau pada bibirnya untuk kelihatan besar, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @shubhangi_anand__ menunjukkan wanita itu mengambil dua biji cili lalu memotongnya dengan gunting.
Dia kemudian menggosok cili-cili tersebut pada bibirnya selama beberapa minit.
Meskipun berasa pedih, dia tetap meneruskan proses itu sehingga bibirnya menjadi bengkak dan besar.
Selepas itu, dia melengkapkan penampilannya dan meletakkan gincu berwarna merah jambu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 22.7 juta tontonan dan menimbulkan kekecohan di ruangan komen.
“Dia (wanita berkenaan) sanggup melakukan apa sahaja demi kandungan laman sosial,” sindir seorang netizen.
“Video paling bodoh di internet,” sindir netizen lain. – AGENSI