JAKARTA – Seorang pesohor media sosial mengundang kecaman orang ramai kerana berpura-pura memberikan wang tunai 5 juta rupiah (RM1,360) kepada seorang lelaki demi kandungan di laman sosial, lapor saluran berita Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @funnelmedia, dia dilihat menghampiri lelaki berkenaan sebelum menyerahkan kotak berisi wang tunai.
Bagaimanapun, rakaman lain memaparkan lelaki itu mengaku menerima hanya 200 ribu rupiah (RM54) daripanya.
“Saya menerima 200 ribu rupiah, dia ambil wang yang lain,” kata lelaki itu dalam rakaman video tersebut.
Klip video itu menjadi tular dan mencetuskan kemarahan netizen.
“Content creator sendiri pun miskin,” sindir seorang netizen.
“Kata nak bantu orang tidak berkemampuan tetapi diri sendiri pun tak mampu. Apa salahnya meminta maaf?” marah netizen lain. – AGENSI