MANILA – Seorang bekas datuk bandar Filipina yang hidup dalam buruan selepas dituduh terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan mempunyai kaitan dengan jenayah terancang China, telah ditangkap di Indonesia, demikian menurut pihak berkuasa Manila.
Alice Leal Guo merupakan bekas Datuk Bandar Bamban. Dia menjadi orang buruan selepas dikaitkan dengan pusat judi online yang dikendalikan sindiket China, di mana beratus-ratus orang dipaksa bekerja sebagai penipu (scammer) atau berisiko diseksa.
Pihak berkuasa menuduh Guo terlibat dalam operasi haram tersebut, selain didakwa merupakan warganegara China yang menyamar sebagai rakyat Filipina untuk bertanding merebut jawatan datuk bandar.
Guo ditangkap oleh polis Indonesia di Jakarta lewat kelmarin, kata Jabatan Kehakiman Filipina dalam satu kenyataan.
“Indonesia menamakan Guo sebagai pendatang haram kerana mereka tahu dia adalah orang buruan dari Filipina. Selain itu, terdapat juga salah nyata kewarganegaraan dalam pasportnya,” kata jurucakap Biro Imigresen, Dana Sandoval kepada AFP.
“Filipina meminta Guo diekstradisi, manakala Biro Imigresen Manila dan Biro Penyiasatan Kebangsaan (NBI) sedang menyelaras dengan pihak berkuasa Indonesia untuk memastikan kepulangannya dalam masa secepat mungkin,” kata Pengarah NBI, Jaime Santiago pula.
Guo juga dikehendaki oleh Senat Filipina kerana enggan menghadiri perbicaraan mengenai dakwaan penglibatannya dengan skim penipuan di Bamban.
Dia menghadapi pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia selepas serbuan ke atas kegiatan tersebut dilakukan.
Pihak berkuasa percaya bahawa Guo melepasi pemeriksaan sempadan pada Julai lalu dan menaiki beberapa bot. Dia kemudian menyeberangi ke negara jiran, Malaysia dan Singapura, sebelum memasuki Indonesia dan ditangkap pada Selasa lalu. – AFP