ISLAMABAD – Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar menyatakan semalam bahawa Islamabad mempunyai maklumat risikan yang boleh dipercayai bahawa India sedang merancang serangan tentera ke atas negaranya.
“Pakistan mempunyai risikan yang boleh dipercayai bahawa India berhasrat melancarkan serangan tentera dalam tempoh 24 hingga 36 jam akan datang menggunakan insiden Pahalgam sebagai alasan,”katanya dalam satu kenyataan.
“Sebarang tindakan pencerobohan akan disambut dengan tindak balas yang tegas. India akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang akibat serius di rantau ini,”katanya dalam satu kenyataan.
Ketegangan antara India dan Pakistan meningkat selepas New Delhi menyalahkan serangan maut yang berlaku di Pahalgam, Kashmir pada 22 April lalu ke atas Islamabad.
Seramai 26 pelancong terbunuh dalam kejadian itu.
Namun, Islamabad menafikan terlibat dalam serangan tersebut. – AGENSI