ALGIERS – Petinju dari Algeria, Imane Khelif yang memenangi pingat emas dalam temasya Olimpik Paris baru-baru ini, menamakan pemilik platform X, Elon Musk dan penulis novel Harry Potter, JK Rowling dalam saman mahkamah yang difailkan kepada pihak berkuasa Perancis.
Portal berita MailOnline melaporkan, saman itu adalah berhubung dakwaan gangguan siber teruk selepas mereka mengetuai bantahan terhadap penyertaan Imane dalam Sukan Olimpik di Paris.
Peguam pemenang pingat emas itu, Nabil Boudi memberitahu bahawa Musk dan JK Rowling dinamakan dalam aduan jenayah yang dihantar ke pusat antikebencian online di pejabat pendakwa raya pada minggu lepas.
Saman itu difailkan terhadap rangkaian platform X.
“J.K. Rowling dan Elon Musk dinamakan dalam saman mahkamah termasuk beberapa yang lain,” tulis Nabil di X.
Peguam itu berkata, bekas Presiden AS, Donald Trump juga akan menjadi sebahagian daripada siasatan saman itu.
Tindakan saman itu berlaku beberapa hari selepas Imane membawa pulang pingat emas dalam pertandingan tinju 66 kilogram wanita.
Dia muncul sebagai pemenang selepas mengharungi kempen kebencian yang meluas selain berdepan pelbagai persoalan mengenai jantinanya.
Sementara itu, JK Rowling dalam satu catatan berkongsikan gambar pertarungan Imane dengan petinju dari Itali, Angela Carini, dengan menyebut atlet Algeria itu sebagai seorang lelaki.
Musk, bagi pihaknya, berkongsi semula tulisan perenang Riley Gaines dari Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa lelaki tidak termasuk dalam sukan wanita.
Bilionair itu membalas dengan menulis: “Sudah tentu”. – AGENSI