JAKARTA – Seorang imam sebuah masjid di Jatibarang, wilayah Jawa Barat patah tulang akibat ditolak seorang jemaah ketika menunaikan solat subuh, lapor laman berita Detik kelmarin.
Ketua Polis Jatibarang, Komisioner Budi Supartoyo berkata, pelaku sudah ditahan dan disoal siasat.
“Memang ada insiden serangan terhadap imam Masjid Al Ittihaad semasa solat subuh.
“Pelaku sudah ditahan dan disoal siasat lebih lanjut,” katanya.
Menurut Budi, siasatan awal mendapati, pelaku yang bernama Saidul Mubarok menolak mangsa sehingga terjatuh kerana menyangka dia melakukan kesilapan dalam solat.
Katanya, imam tersebut pada awalnya sudah memberitahu bahawa dia akan melakukan sujud sajadah, namun ia tidak difahami oleh suspek.
“Suspek yang berada di saf jemaah, menganggap sujud sajadah sebagai kesilapan dalam solat. Disebabkan itu, dia menolak imam tersebut dengan kasar hingga jatuh tersungkur.
“Mangsa mengalami patah tulang dan dikejarkan ke hospital,” kata Budi.
Tambah Budi, jemaah lain dengan segera menghentikan tindakan suspek lalu membawanya keluar dari masjid.
Setakat ini, polis masih menyiasat motif sebenar suspek bertindak demikian serta turut mengarahkan lelaki itu menjalani pemeriksaan mental- AGENSI