Ibu tiri usia 21 tahun, wanita bingung mahu panggil apa

ibu tiri muda

Intan dan ibu tirinya mempunyai perbezaan usia tiga tahun. – TikTok

JAKARTA – Seorang wanita di Jakarta Selatan berkongsikan kisahnya yang mempunyai ibu tiri lebih muda daripadanya, sehingga membuatkan dia keliru untuk menggunakan nama panggilan, lapor portal berita Wolipop kelmarin.

Berdasarkan video yang dimuat naik di platform TikTok, wanita bernama Intan Pakia itu berkata, dia berusia 24 tahun, manakala ibu tirinya berumur 21 tahun.

Menurut Intan, bapanya berkahwin dengan ibu tirinya pada November 2022.

“Pada awalnya saya terkejut apabila bapa memberitahu bahawa dia mahu berkahwin dengan wanita lebih muda daripada saya.

“Saya bingung tentang nama panggilan yang perlu dipanggil. Mungkin juga kerana kami masih sama-sama berasa janggal disebabkan jarang bertemu,” katanya.

Bagaimanapun, Intan berkata, ibu tirinya seorang yang baik hati dan berfikiran matang meskipun usianya masih muda.

Dia juga memberitahu bahawa pada usia 24 tahun, dia mendapat seorang adik baharu yang dilahirkan oleh ibu tirinya. – AGENSI