Ibu kota Pakistan lumpuh akibat protes

000 36JC98F

Penyokong dan aktivis PTI mengambil bahagian dalam protes di Islamabad semalam. – AFP

ISLAMABAD – Ibu kota Pakistan dikenakan perintah berkurung semalam ketika ia dipenuhi dengan pasukan keselamatan dalam usaha bagi mematahkan cubaan penyokong bekas perdana menteri, Imran Khan untuk melakukan protes besar-besaran.

Susulan berpuluh-puluh kes mahkamah, Imran dihalang daripada bertanding dalam pilihan raya Februari lalu yang dicemari dengan pelbagai dakwaan penipuan.

Namun, parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinannya menentang tindakan keras itu dengan melaksanakan demonstrasi.

Aktivis PTI menuju ke Islamabad kelmarin dari kubu kuat mereka di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa, namun dikenakan sekatan jalan dan gas pemedih mata.

Semalam, beberapa konvoi kecil yang berpecah menyerbu Islamabad bagi menentang kerajaan, menyebabkan lebih 550 orang ditangkap.

Protes juga diadakan semalam di Lahore, namun lebuh raya utama yang menghubungkan bandar raya timur ke ibu negara itu telah disekat.

“Saya sangat berbangga dengan semua orang kita,” kata pesanan daripada Imran yang disiarkan di laman sosial X pada petang semalam.

“Anda menunjukkan ketabahan dan keberanian yang tidak berbelah bahagi ketika keluar semalam (Jumaat) dan mengatasi halangan yang sukar dipercayai,” tambahnya.

Imran, 72, berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2018 hingga 2022 sebelum dia digulingkan dalam undi tidak percaya Parlimen selepas bertelingkah dengan pertubuhan tentera yang berkuasa.

Sebagai ketua pembangkang, dia mengetuai kempen penentangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sebelum dikaitkan dengan pelbagai kes mahkamah.

Imran berkata, kesemua itu telah diatur untuk menghalangnya daripada kembali ke tampuk pemerintahan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *