PETALING JAYA – Ketegasan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengenai peranan ibu bapa dalam membendung gejala buli di sekolah mendapat sokongan padu khususnya daripada para ibu bapa.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, dia menekankan bahawa masalah disiplin dan akhlak anak-anak bukan sahaja berpunca daripada persekitaran sekolah semata-mata, tetapi turut bermula dari rumah.
“Jangan hanya salahkan pelajar atau guru, ibu bapa dan masalah di rumah juga antara faktor utama membiaknya perilaku buli hingga terbawa-bawa ke asrama dan sekolah,” katanya.
Kenyataan itu mendapat sokongan padu daripada netizen, terutamanya golongan ibu bapa yang mengakui cabaran dalam mendidik anak-anak.
“Betul, ini kerana madrasah pertama adalah di rumah. Saya perasan saya kurang dapat kawal selia anak-anak sebab kami suami isteri sibuk,” kata @Nieniehn.
“Setuju, sikap anak-anak memang dibawa dari rumah. Sebab itu sekecil-kecil kesalahan yang anak-anak kita lakukan, perlu di tegur dan diperbetulkan segera,”kata @IdoraDarwina.
“Setuju sangat, lagi satu sikap mak ayah sama asyik menangkan anak tanpa soal selidik pun salah satu punca,”kata @ArzlieAmir.
Sebelum ini tular video tular berdurasi 1 minit 31 saat yang menunjukkan insiden buli melibatkan tujuh pelajar lelaki di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Video tersebut memaparkan seorang pelajar dalam keadaan tertiarap di atas katil, dihempap kepala dan badannya oleh sekumpulan pelajar lain, selain disebat dengan tali pinggang di bahagian punggung.
Siasatan dalaman sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti ia merupakan perbuatan buli. – KOSMO! ONLINE