BANGKOK – Rantau Asia Tenggara bakal menyaksikan taburan hujan jauh lebih tinggi daripada biasa dalam tempoh beberapa bulan akan datang, lapor saluran berita South China Morning Post semalam.
Cuaca buruk itu dijangka menjejaskan sektor ekonomi seperti pertanian, pelancongan dan industri lain yang sudah terkesan akibat sebilangan ribut yang membadai Asia Tenggara pada tahun ini.
Ahli-ahli meteorologi menjangkakan hujan lebat dari Filipina hingga ke Vietnam sehingga November ini disebabkan kemunculan fenomena cuaca basah La Nina di Lautan Pasifik sekali gus membawa lebih banyak hujan ke Asia Tenggara.
Keadaan itu boleh menghalang usaha pemulihan di Vietnam selepas Taufan Yagi membadai negara itu pada September lalu.
Taufan Yagi adalah ribut paling buruk pernah melanda negara itu dalam tempoh beberapa dekad.
Thailand yang bergantung kepada industri pelancongan pula mengalami kerugian mencecah 30 bilion baht (RM389 juta) akibat gelombang banjir di utara negara itu termasuk wilayah Chiang Mai, yang memaksa kira-kira 100 gajah dipindahkan dari pusat santuari.
Filipina yang mengalami kira-kira sembilan taufan setiap tahun, masih dilanda beberapa ribut maut sejak beberapa bulan lalu termasuk Gaemi pada Julai, Yagi pada September dan Krathon pada Oktober 2024.
“Keadaan La Nina diramalkan dari Oktober-November 2024 dan seterusnya, salah satu faktor yang menyumbang kepada taburan hujan luar biasa di beberapa negara di rantau ini,” kata Pusat Meteorologi Khusus Asean.
Singapura mengeluarkan amaran banjir Isnin lalu apabila tempoh antara monsun membawa ribut petir dan hujan lebat ke negara kecil itu.
Agensi cuaca Filipina meramalkan sebahagian besar kepulauan itu mungkin menyaksikan taburan hujan melebihi purata semasa sepanjang akhir tahun ini, 160 peratus melebihi purata pada Januari 2024.
Vietnam diramalkan menyaksikan taburan hujan yang lebih tinggi daripada kadar purata, termasuk di utara iaitu kawasan berorientasikan eksport dan industri berat, demikian menurut perkhidmatan meteorologi negara itu.
Wilayah tengah Vietnam yang merupakan satu lagi hab perindustrian penting juga berisiko menyaksikan sebanyak lima kejadian banjir hingga Mac tahun depan.
Pertubuhan Meteorologi Dunia meramalkan 60 peratus kemungkinan keadaan La Nina muncul menjelang akhir tahun ini.
Pakar-pakar kaji cuaca meramalkan ketibaan La Nina sejak beberapa bulan lalu.
La Nina kali ini bagaimanapun dijangka lebih lemah dan dalam tempoh lebih pendek daripada ramalan awal.
Fenomena ini mendorong keadaan lembab meliputi Asia dan Australia yang bertentangan situasi kering El Nino. – AGENSI