GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan bahawa peningkatan jangkitan virus pernafasan terutamanya metapneumovirus manusia (HMPV) di China adalah sejajar dengan corak musim sejuk biasa, lapor agensi berita Anadolu semalam.
Setakat ini, tiada pengisytiharan kecemasan di negara tersebut tengah-tengah perhatian yang semakin meningkat terhadap HMPV.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China melaporkan peningkatan dalam jangkitan pernafasan biasa termasuk influenza bermusim, virus sinsitium pernafasan (RSV), HMPV dan sindrom pernafasan akut teruk koronavirus 2 (SARS-CoV-2) dalam data terkininya yang meliputi sehingga 29 Disember tahun lalu.
“Antara semua patogen yang dilaporkan oleh CDC China, selesema bermusim adalah yang paling biasa dan semakin meningkat,”kata jurucakap WHO, Margaret Harris pada taklimat akhbar di Geneva, Switzerland.
Harris menambah, kadar positif ujian untuk influenza melebihi 30 peratus dalam kalangan individu yang mengalami gejala seperti selesema pada akhir Disember tahun lalu.
“Pihak berkuasa melaporkan bahawa penggunaan hospital pada masa ini lebih rendah berbanding tahun lepas dan tiada pengisytiharan kecemasan atau tindak balas yang dicetuskan akibat HMPV,” katanya.
Tambah Harris, HMPV yang telah menarik perhatian media yang ketara, bukanlah virus baharu.
Sementara itu, pegawai kesihatan India melaporkan dua kes HMPV baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tujuh kes di negara itu.
Menurut pegawai, seorang kanak-kanak berusia tiga bulan disahkan positif pada Isnin lalu, manakala seorang lagi melibatkan kanak-kanak lelaki berusia lapan bulan.
Di United Kingdom (UK), data yang dikongsikan oleh pihak berkuasa kesihatan menunjukkan bahawa jangkitan HMPV meningkat pada Disember tahun lalu dan dijangka terus melonjak dalam beberapa minggu akan datang.
Pada minggu terakhir 2024, tahap aktiviti virus itu digambarkan sebagai ‘sederhana’, manakala kes positif meningkat sedikit kepada 4.5 peratus, selaras dengan trend dari tahun-tahun sebelumnya. – AGENSI