PETALING JAYA – Kebanyakan ibu bapa mengakui pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) memberi kesan negatif kepada tumpuan dan fokus anak-anak mereka.
Seorang ibu dikenali Puan Nor, 39, berkata, prestasi anaknya yang kini berada di tahun enam sedikit merosot sejak pemansuhan UPSR tersebut.
Menurutnya, sebelum ini anaknya merupakan antara pelajar cemerlang dan sering mendapat markah tinggi dan tempat pertama setiap kali ujian atau peperiksaan.
“Sebelum ini, dia akan fokus setiap kali peperiksaan kerana mahu berada di ranking teratas. Malah dia pernah beritahu sebelum ini (ketika darjah 2) nak dapat 5A UPSR.
“Kalau dulu dia minat Matematik, Sejarah dan Bahasa Inggeris dan selalu akan dapat markah 90 ke atas. Tetapi sekarang hanya dapat B dan kadang-kadang C.
“Walaupun masih ada pentaksiran bilik darjah (PBD), tetapi ‘auranya’ tidak sama seperti UPSR,”katanya.
Berkongsi kisah sama, Lyana memaklumkan, fokus anak keduanya terjejas kerana tiada persaingan merebut markah tertinggi akibat pemansuhan UPSR.
“Terus terang saya katakan, tanpa USPR anak kedua saya memang tak minat langsung belajar sebab senang hati tiada persaingan. Sikap tu terbawa-bawa sehingga ke sekolah menengah,” ujarnya.
Sementara itu, suri rumah, Nur Fatimah Zainuddin, 36, berkata, UPSR adalah kaedah yang berkesan dalam mendorong murid untuk lebih berusaha menguasai setiap mata pelajaran, termasuk menghafal dan mengingati fakta serta mewujudkan persaingan sesama mereka.
Katanya, terdapat perbezaan kesungguhan dalam konteks semangat belajar di sekolah jika dibandingkan anak sulungnya yang berada di tingkatan tiga dengan darjah tiga.
“Anak sulung ambil UPSR masa 2014, saya lihat dia lebih fokus, lebih rajin untuk kuasai setiap subjek kerana mahu memastikan keputusan UPSR yang terbaik. Dia dapat 4A, 1B.
“Berbeza dengan adiknya, semangat bersaing kurang. Ada sedikit malas bila dia tak ada target seperti mana dialami kakaknya dahulu,” katanya.
Turut senada seorang bapa yang dikenali sebagai Khairul, 45, yang menjelaskan PT3 penting kerana kayu pengukur menentukan kebolehan pelajar selepas tingkatan 3.
Ini kerana katanya, keputusan PT3 itu digunakan untuk menentukan aliran termasuk sains.
“Pada masa sama ibu bapa tahu kekuatan anak mereka untuk memilih bidang seterusnya bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),”katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Azirul Abu Samah, 40, berpendapat, pelaksanaan semula UPSR akan menjadi galakan untuk murid lebih bersedia mengharungi persekolahan di peringkat menengah.
Bagaimanapun, menurut bapa kepada tiga anak itu, jika UPSR dikembalikan, silibus sedia ada perlu dikaji semula.