LONDON – Identiti sebenar watak kucing comel popular, Hello Kitty akhirnya didedahkan dan apa yang pasti, kartun tersebut bukannya seekor kucing seperti sangkaan orang ramai, lapor portal berita Daily Mirror semalam.
Juga dikenali sebagai Kitty White, watak ikonik itu dicipta pada tahun 1974 oleh syarikat gergasi hiburan Jepun, Sanrio.
Pada asalnya, Hello Kitty dipasarkan untuk kanak-kanak perempuan di usia pra remaja.
Namun, populariti Hello Kitty pantas melonjak dipacu oleh budaya ‘kawaii’ yang bermaksud nilai estetik berdasarkan kecomelan dan suci murni.
Setelah 50 tahun berlalu, Sanrio memperoleh jualan runcit tahunan mencecah AS$5 bilion (RM23.23 bilion) hanya kerana Hello Kitty.
Peminat-peminat pula melihatnya sebagai dedikasi jkepada mereka.
Malah, seorang peminat di Britain sanggup mengucapkan selamat tinggal kepada kehidupan cinta supaya dia dapat mengisi flatnya dengan lebih 10,000 memorabilia Hello Kitty.
Bagaimanapun, Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Pengurusan Sanrio, Jill Kock apabila ditanya soalan: “Adakah Hello Kitty seekor kucing?”
Beliau memberikan jawapan yang membuatkan ramai peminat menggaru kepala.
“Hello Kitty bukan kucing.
“Sebenarnya, Hello Kitty ialah seorang budak perempuan kecil yang dilahirkan dan dibesarkan di pinggir London. Dia mempunyai ibu dan bapa serta adik kembar bernama Mimmy yang juga rakan akrabnya,” kata Jill kepada laman berita Today.
Malah, Hello Kitty itu turut mempunyai seekor kucing peliharaan.
Ramai netizen yang mengulas mengenai pendedahan mengejutkan tersebut.
“Adakah Hello Kitty cuba memanipulasi kita?” kata seorang pesohor TikTok dalam temu bual itu.
“Dia mempunyai misai dan telinga kucing,” katanya.
Enggan mempercayai pendedahan itu, beribu-ribu penonton yang bingung menulis ke bahagian komen untuk berkongsi pendapat mereka.
“Nama dia betul-betul Hello Kitty,
“Dia budak perempuan kucing! Mereka memanipulasi kita,” tulis seorang netizen. – AGENSI