Helikopter terhempas atas bumbung hotel dipercayai dicuri

heli curi

Tangkap layar rakaman video yang disediakan oleh Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) hari ini menunjukkan serpihan helikopter berada di tepi jalan dekat hotel DoubleTree by Hilton di Cairns. – AFP

CANBERRA – Helikopter yang terhempas ke atas bumbung hotel DoubleTree by Hilton di Cairns, Australia, dilaporkan dicuri dari lapangan terbang Cairns, lapor laman berita news.com.au hari ini.

Juruterbang yang menjadi penumpang tunggal helikopter itu maut dalam kejadian pada pukul 1.50 pagi (waktu tempatan) semalam, manakala sehingga 400 orang dipindahkan susulan berlakunya kebakaran di bumbung hotel.

Helikopter milik Nautilus Aviation itu dilaporkan dicuri dari lapangan terbang Cairns.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tersebut, Aaron Finn memberitahu akhbar The Australian bahawa helikopter tersebut telah dilarikan dari lapangan terbang pada awal pagi.

Komander Superintendan Bomba Queensland zon Gold Coast, Greg Tomlinson mengesahkan bahawa helikopter itu dipercayai berlepas dari hangar penerbangan am di lapangan terbang Cairns.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada helikopter itu dicuri ketika bercakap pada sidang akhbar hari ini.

Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Angus Mitchell berkata, jika penerbangan itu tidak dibenarkan untuk berlepas atau tidak dijadualkan, insiden tersebut mungkin menjadi kes di bawah kawal selia polis.

Mitchell berkata, tidak diketahui sama ada insiden itu disengajakan atau kemalangan, tetapi beliau menekankan bahawa ia dipercayai insiden terpencil tanpa sebarang ancaman lanjut.

“Pada peringkat ini, kami akan melakukan siasatan sama seperti yang sering dilakukan. Kami pastinya akan mengumpulkan bukti dari tempat kejadian dan daripada pengendali (helikopter).

“Setelah mempunyai identiti kakitangan terlibat, kami akan mula melihat lebih dekat berkaitan semua perkara yang mungkin menyumbang kepada apa yang berlaku awal pagi tadi,” katanya.

Tambah Mitchell, pihaknya akan mengeluarkan laporan awal dalam beberapa minggu akan datang sejurus pihaknya mendapat urutan peristiwa untuk difahami dengan lebih baik.

Identiti juruterbang tersebut ketika ini masih tidak diketahui, manakala Nautilus Aviation dalam satu kenyataan berkata, penerbangan itu ‘tidak mendapat kebenaran’ untuk berlepas. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *