WASHINGTON – Sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh di lima negeri Amerika Syarikat (AS) yang dilanda Taufan Helene, kata pihak berkuasa semalam.
Bilangan kematian itu diumumkan selepas banjir besar memaksa anggota-anggota pasukan kecemasan melancarkan operasi menyelamat besar-besaran.
Jalan raya, rumah dan perniagaan banyak yang ditenggelami air dengan kebanyakannya musnah selepas Taufan Helene tiba di daratan sebagai taufan Kategori 4 dekat ibu negeri Florida, Tallahassee.
Taufan itu membadai selama semalaman sebelum bergerak ke arah utara.
Ketika kegelapan menyelubungi wilayah itu semalam, lebih 4.2 juta pelanggan terputus bekalan elektrik di 10 buah negeri dari Florida hinggalah ke Ohio, demikian menurut laman web gangguan bekalan elektrik, poweroutage.us.
Ketika Helene menjadi lemah dan dikategorikan sebagai ribut tropika dan akhirnya siklon pasca-tropika, ribut itu terus mendatangkan malapetaka dengan membawa hujan lebat.
Pusat Taufan Kebangsaan menyatakan, Helene akan mengakibatkan malapetaka dan berpotensi mengancam nyawa serta menyebabkan banjir di kawasan bandar.
Sementara itu, sejumlah kediaman musnah atau rosak akibat taufan itu di pekan Pulau Cedar Key yang didiami sekitar 700 orang di barat laut Florida.
“Saya tinggal di sini sepanjang hidup saya dan hati saya hancur melihat kemusnahan yang berlaku,”kata penduduk setempat, Gabe Doty.
Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh termasuk dua anggota bomba di negeri Carolina Selatan pula, kata beberapa pegawai.
Antara yang maut itu ialah enam penduduk di daerah Spartanburg, demikian menurut seorang koroner, Rusty Clevenger. – AFP