Harris, Trump ‘panaskan’ pentas debat 

DEBAT

Harris (kanan) dan Trump (kiri) berdebat di Pusat Perlembagaan Negara di Philadelphia, Pennsylvania semalam. – AFP

PHILADELPHIA, PENNSYLVANIA – Debat pertama antara Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris dan bekas presiden, Donald Trump bermula dengan kedua-dua mereka berjabat tangan dan berakhir dengan saling berbalas kritikan sebagai ‘pemimpin yang tidak sepatutnya dipilih’.

Saluran berita Al Jazeera melaporkan, Harris dan Trump saling bertukar kata-kata selama lebih 90 minit semalam, daripada perbahasan mengenai dasar substantif dan berkisarkan serangan peribadi. 

Trump cuba menggambarkan Harris sebagai calon paling kiri yang akan meneruskan dasar sempadan terbuka dan merampas senjata api milik rakyat, selain turut menggambarkannya sebagai ahli politik yang sama dengan Presiden Joe Biden.

Secara keseluruhan, jawapan Harris dilihat lebih terarah berbanding Trump tetapi ia masih harus dilihat sama ada prestasi perbahasan akan menjejaskan perlumbaan calon presiden.

Retorik Trump sepanjang perbahasan merentasi pelbagai topik, malah beliau jarang berpegang kepada isu utama yang dikemukakan dalam soalan moderator.

Namun, agensi berita AFP menggariskan empat isu utama yang dibangkitkan dalam perbahasan tersebut iaitu ekonomi termasuk perang perdagangan dengan China, imigrasi dan jenayah migran, pengguguran kandungan dan perang Ukraine.

Perbahasan tersebut adalah debat pertama dan satu-satunya yang dijadualkan setakat ini untuk kempen pilihan raya Presiden 2024 pada November depan. – AFP/AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *