Harris terima kekalahan, janji bantu peralihan kuasa secara aman

harris akur

Harris melambai kepada penyokongnya pada akhir ucapan konsesi di Universiti Howard, Washington, D.C semalam. – AFP

WASHINGTON – Naib Presiden Kamala Harris menggesa penyokongnya untuk terus memperjuangkan kebebasan mereka sambil membolehkan peralihan kuasa berlangsung secara aman untuk Presiden seterusnya, Donald Trump, lapor agensi berita United Press International.

Harris semasa memberikan ucapan konsesi selepas kekalahannya semalam berkata: “Hati saya penuh hari ini. Penuh dengan kesyukuran atas kepercayaan yang anda berikan kepada saya, penuh cinta kepada negara dan penuh keazaman.”

Calon mewakili Parti Demokrat itu menyampaikan ucapannya kira-kira pukul 4.20 petang (waktu tempatan) di Universiti Howard, Washington, D.C.

“Keputusan pilihan raya ini bukan apa yang kita mahukan, bukan apa yang kita perjuangkan, bukan apa yang kita undi,” kata Harris kepada penyokongnya termasuk pasangan regunya, Tim Walz dan keluarga.

“Cahaya janji Amerika akan sentiasa menyala selagi kita tidak berputus asa dan selagi kita terus berjuang,” tambah Harris.

Beliau turut berterima kasih kepada Presiden Joe Biden dan Wanita Pertama, Jill Biden atas sokongan mereka, serta Walz, kakitangan kempen dan pegawai pilihan raya.

“Sepanjang 107 hari kempen ini, kami berniat membina komuniti dan membina gabungan dengan menyatupadukan orang ramai daripada setiap lapisan masyarakat dan latar belakang,” ujarnya.

Harris turut memberitahu penyokongnya bahawa beliau bercakap dengan Trump sebelum itu dan berjanji untuk membantu peralihan kuasa secara aman.

“Kita mesti menerima keputusan pilihan raya ini.

“Di negara kita, kita berhutang kesetiaan bukan kepada presiden atau parti tetapi kepada Perlembagaan Amerika Syarikat, kepada hati nurani kita dan Tuhan kita,” ujarnya. – AGENSI