Harga telur terus meningkat di Amerika

harga telur

Nota permohonan maaf kepada pelanggan atas kenaikan harga dilekatkan di rak telur sebuah pasar raya di San Mateo, California pada 23 Januari 2023. – Anadolu

WASHINGTON – Harga telur di Amerika Syarikat (AS) semakin meningkat, manakala pakar-pakar industri mengunjurkan peningkatan harga berterusan hingga 2025, lapor saluran berita Fox News semalam.

Keadaan itu diramal berlaku sekiranya Influenza Burung Sangat Patogenik (HPAI) yang juga dikenali sebagai jangkitan selesema burung berterusan.

Pengurus Sektor Institut Pertanian Wells Fargo, Kevin Bergquist berkata, harga telur  meningkat sejak 2023 berikutan  kenaikan harga bermusim semasa cuti dan gangguan bekalan akibat selesema burung.

“Harga telur sepanjang tahun ini secara amnya kekal lebih mahal berbanding 2023, malah kebiasaannya melebihi harga telur pada 2022 ketika HPAI benar-benar menjejaskan  pasaran,” kata Bergquist.

Menurut Indeks Harga Pengguna, harga runcit meningkat 0.5 peratus pada bulan November melibatkan empat daripada enam kumpulan makanan runcit utama.

Harga daging, produk ternakan, ikan dan telur naik 1.7 peratus pada November lalu tetapi harga telur naik 8.2 peratus, peningkatan terbesar dengan margin yang luas.

Tambah Bergquist, wabak selesema burung mengganggu pasaran, membawa kepada peningkatan tertinggi harga telur pada Disember 2022.  – AGENSI