HANOI – Harga durian di Vietnam melambung tinggi disebabkan kekurangan bekalan selepas kebanyakan pengeluar bertindak mengeksport ‘raja buah’ bagi memenuhi permintaan besar di China, menjelang sambutan tahun baru masyarakat Cina, lapor portal berita VNExpress kelmarin.
Menurut akhbar Phap Luat, peniaga-peniaga membeli durian Monthong di Wilayah Tien Giang, Delta Mekong pada harga mencecah 200,000 dong (RM35) untuk satu kilogram, meningkat 54 peratus berbanding akhir bulan lalu.
Sebilangan peniaga berkata, permintaan eksport yang tinggi itu melonjakkan harga durian.
Setiausaha Agung Persatuan Buah dan Sayuran Vietnam, Dang Phuc Bguyen berkata, permintaan China untuk durian semasa cuti Tahun Baru Cina yang akan datang adalah tinggi.
Vietnam adalah satu-satunya negara pengeluar ‘raja buah’ itu yang tinggal kerana Thailand, Indonesia, Malaysia dan Filipina telah kehabisan durian segar.
Dang menganggarkan terdapat durian luar musim bernilai 2.5 trilion dong (RM447 juta) di Vietnam yang bermula bulan lalu dan akan berakhir Mac ini. – AGENSI