Hampir 40 juta orang diramal hilang nyawa angkara \’superbug’

COVER1 scaled

SEORANG penyelidik menunjukkan bakteria kebal ubat antibiotik Staphylcocus epidermidis yang dibiakkan di dalam piring petri di Melbourne pada 4 September 2018. – AFP

PARIS – Jangkitan kuman super yang kebal terhadap ubat-ubatan dijangka membunuh hampir 40 juta orang dalam tempoh 25 tahun akan datang, demikian menurut analisis global kelmarin, ketika penyelidik-penyelidik menggesa tindakan diambil bagi mengelakkan senario menyeramkan tersebut.

Kuman super (superbug) merujuk kepada varian bakteria atau patogen kalis ubat antibiotik sekali gus menjadikannya sukar dirawat. Ia diiktiraf sebagai ancaman yang semakin serius terhadap kesihatan global.

Analisis menyeluruh tersebut dianggap sebagai penyelidikan pertama untuk menjejaki impak global kuman super dari masa ke masa dan menganggarkan senario yang boleh berlaku seterusnya.

Lebih sejuta orang mati akibat kuman super, juga dipanggil rintangan antimikrobial (AMR) itu setahun di seluruh dunia antara 1990 hingga 2021, demikian menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal, The Lancet.

Kematian dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun akibat kuman super menurun lebih 50 peratus dalam tempoh tiga dekad lalu, kata kajian sama berikutan penambahbaikan langkah-langkah untuk mencegah dan mengawal jangkitan pada bayi.

Bagaimanapun, apabila kanak-kanak ini diserang bakteria berkenaan, jangkitan pada mereka lebih sukar untuk dirawat.

Menurut kajian berkenaan, kematian dalam kalangan penduduk berusia lebih 70-an telah melonjak lebih daripada 80 peratus sepanjang tempoh sama berikutan populasi lebih berusia menjadi lebih terdedah kepada jangkitan.

Kematian akibat jangkitan bakteria staphylococcus aureus rintang methicillin (MRSA) yang menjadi semakin kebal terhadap banyak ubat antibiotik, meningkat dua kali ganda kepada 130,000 orang pada 2021 berbanding tiga dekad sebelumnya, kata kajian itu.

Pasukan penyelidik berkenaan menggunakan pemodelan komputer untuk menganggarkan bahawa berdasarkan trend semasa, jumlah kematian langsung akibat AMR akan meningkat sebanyak 67 peratus untuk mencapai hampir dua juta orang setahun menjelang 2050.

Kuman super itu juga diramal memainkan peranan dalam 8.2 juta lagi kematian tahunan atau lonjakan hampir 75 peratus.

Berdasarkan senario tersebut, AMR akan membunuh secara langsung seramai lebih 39 juta orang sepanjang suku abad akan datang, dan menyumbang kepada sejumlah 169 juta kematian secara keseluruhan, tambahnya.

Bagaimanapun, senario yang kurang mengerikan juga boleh dicapai.

Jika dunia menggembleng usaha untuk meningkatkan penjagaan bagi jangkitan teruk dan akses kepada ubat antimikrob, ia boleh menyelamatkan nyawa 92 juta orang menjelang 2050, demikian menurut kajian sama.

“Keputusan kajian ini menyerlahkan bahawa AMR menjadi ancaman kesihatan global yang ketara selama beberapa dekad dan ancaman ini semakin meningkat,” kata pengarang bersama kajian itu, Mohsen Naghavi daripada Institut Metrik Kesihatan yang berpangkalan di AS dalam satu kenyataan.

Dalam kajian mereka, pasukan penyelidik menganalisis 22 patogen(kuman), 84 kombinasi ubat dan patogen dan 11 sindrom berjangkit seperti meningitis. Kajian itu melibatkan data daripada 520 juta rekod individu di 204 negara dan wilayah.

Ia diterbitkan sebelum mesyuarat AMR peringkat tinggi di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dijadualkan pada 26 September ini. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *