Hampir 200 maut serangan ke atas pengamal sihir voodoo

Haiti gang scaled

KEGANASAN menyebabkan penduduk berpindah dari Port-au-Prince kelmarin. – AFP

PORT-AU-PRINCE – Hampir 200 orang terbunuh dalam keganasan hujung minggu lalu di Haiti yang dilakukan bagi menentang pengamal ilmu sihir voodoo.

Menurut pertubuhan awam Jawatankuasa Keamanan dan Pembangunan (CPD), pembunuhan di bandar ibu negara, Port-au-Prince itu dipantau oleh seorang ketua geng yang berpengaruh dan yakin bahawa penyakit anaknya berpunca daripada penganut amalan itu.

Ia adalah tindakan keganasan melampau terbaharu kumpulan-kumpulan yang mengawal sebahagian besar Port-au-Prince di negara Caribbean itu, yang terperangkap selama beberapa dekad dalam ketidakstabilan politik, bencana alam dan kesengsaraan lain.

“Dia (ketua geng) memutuskan untuk menghukum dengan kejam semua warga emas dan pengamal voodoo yang dalam imaginasinya, mampu menghantar jampi buruk kepada anaknya,”kata satu kenyataan daripada kumpulan terlibat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengutuk keganasan yang mengerikan itu yang menurut jurucakapnya, telah menyebabkan sekurang-kurangnya 184 orang termasuk 127 lelaki dan wanita warga emas terkorban.

Menurut PBB dan CPD, pembunuhan itu berlaku di kawasan kejiranan pantai barat Cite Soleil.

Sementara itu, seorang penduduk yang dihubungi melalui panggilan telefon oleh AFP, mengesahkan serangan itu dan berkata, bapanya yang berusia 76 tahun turut menjadi mangsa.

“Penjenayah membakar mayatnya. Keluarga tidak boleh menganjurkan pengebumian untuknya kerana kami tidak dapat menemui mayatnya,”kata individu tersebut yang enggan namanya didedahkan. – AFP