Hakim benarkan kes terhadap Trump digugurkan

000 36N49DP

GAMBAR fail Trump di sebuah mahkamah di New York. – Foto AFP

WASHINGTON – Seorang hakim persekutuan menggugurkan kes utama terhadap bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang melibatkan dakwaan bahawa beliau secara haram berusaha untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Seorang pendakwa raya khas yang membawa kes jenayah terhadap Trump, Jack Smith, telah memohon supaya pertuduhan itu digugurkan. Dia memetik dasar Jabatan Kehakiman yang melarang pendakwaan terhadap presiden yang akan berkhidmat.

Hakim Tanya Chutkan kemudian membenarkan permohonan pengguguran kes itu tanpa prejudis yang bermaksud, pertuduhan boleh difailkan semula selepas Trump menamatkan penggal keduanya sebagai Presiden AS.

Smith juga meminta supaya kes yang mendakwa Trump menyimpan dokumen sulit secara tidak wajar, turut digugurkan. 

Trump mengaku tidak bersalah dalam kedua-dua kes itu.

“Ia sudah lama menjadi pendirian Jabatan Kehakiman bahawa Perlembagaan AS melarang persekutuan mengemukakan pendakwaan jenayah terhadap Presiden yang menang (pilihan raya).

“Keputusan ini tidak berdasarkan merit atau kekuatan kes terhadap defendan,” tulis Smith dalam pemfailan setebal enam muka surat.

Selepas meninggalkan White House pada Januari 2021, Trump menjadi bekas Presiden AS pertama yang menghadapi perbicaraan jenayah. Beliau kemudian disabitkan dalam kes yang terikat dengan dakwaan membuat pembayaran kepada pelakon filem dewasa, Stormy Daniels.

Pada awal tahun ini, Trump menghadapi hampir 100 pertuduhan jenayah yang berkaitan dengan dua kes persekutuan dan lain-lain. 

Mahkamah Agung kemudian memutuskan pada musim panas lalu bahawa beliau tidak boleh didakwa kerana kedudukannya sebagai bekas presiden.

Trump kemudian memenangi pilihan raya beberapa bulan kemudian dan kini, hampir semua pertuduhan itu telah digugurkan. – AGENSI