KEJOHANAN Piala Asean 2024 yang akan membuka tirai rasmi pada Ahad ini boleh dianggap sebagai ‘hadiah perpisahan’ terbaik daripada skuad Harimau Malaya buat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd. Amin.
Sebagai rekod, Hamidin telah mengambil keputusan mengejut untuk tidak mempertahankan kedudukannya pada kongres pemilihan tahun depan selepas mengemudi ‘kerusi panas’ itu sejak 2018.
Namun, Hamidin enggan meletakkan harapan tinggi buat skuad Harimau Malaya meskipun yakin skuad bimbingan Pau Marti Vicente itu dapat berikan sepenuh jiwa pada kejohanan berprestij dwitahunan itu.
Kata Hamidin, skuad kali ini agak berbeza kerana ia gabungan daripada pemain junior dan senior, tetapi itu bukan alasan pasukan tidak mampu beri saingan sengit kepada pasukan lain.
“Kita tahu liga sedang berjalan dan skuad yang dibentuk pula antara pemain muda dan berpengalaman.
“Kita akan cuba memberikan saingan terbaik di bawah kendalian Pau Marti dan memberikan cabaran kepada pasukan lain,”katanya.
Sebagai rekod, seramai 26 pemain telah dipanggil mewakili skuad kebangsaan dan menyertai kem latihan bermula semalam sebelum berlepas ke Pnhom Penh, Kemboja hari ini.
Skuad Harimau Malaya yang diletakkan dalam Kumpulan A akan bertemu tuan rumah di Stadium Olimpik pada Ahad sebelum sebelum melayan kunjungan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil (11 Disember), Thailand (14 Disember) dan Singapura (20 Disember).
Kejohanan yang sebelum ini dikenali sebagai Piala AFF itu telah dianjurkan sejak 1996 dengan skuad Harimau Malaya hanya pernah bergelar juara sekali pada edisi 2010 manakala kali terakhir bergelar finalis pada edisi 2018.