JAKARTA – Pendakwah terkenal, Gus Miftah meletakkan jawatan sebagai Utusan Khas Presiden Prabowo Subianto selepas menghina penjual minuman teh ais, Pak Sun, lapor portal berita detikjogja hari ini.
“Hari ini dengan segala kerendahan hati dan ketulusan dan dengan penuh kesedaran, saya ingin sampaikan sebuah keputusan yang telah saya renungkan dengan sangat mendalam.
“Saya memutuskan untuk mengundurkan diri daripada tugas saya sebagai Utusan Khas Presiden Kerukunan Beragama,”ujar Gus Miftah.
Gus Miftah meletakkan jawatan selepas satu rakaman video memaparkan dia memanggil penjual teh ais itu bodoh, menjadi tular di media sosial ketika berceramah di Magelang, Jawa Tengah, bulan lalu.
Perbuatan itu kemudian mendapat komen daripada ramai netizen sehingga dia datang ke rumah penjual minuman itu di Grabag Magelang kelmarin.
Penjual teh ais itu telah memaafkan Gus Miftah dan masalah antara mereka kemudian diselesaikan dengan cara yang baik. – AGENSI