JAKARTA – Seorang guru sebuah sekolah swasta di Malang, wilayah Jawa Timur dipanggil ke balai polis untuk memberi keterangan selepas dia menampar pelajar sebagai hukuman tidak menunaikan solat, lapor laman berita Detik.
Dalam kejadian pada Ogos lalu, guru yang hanya dikenali sebagai RP, 30, dilaporkan kepada polis atas tuduhan melakukan kekerasan terhadap pelajar.
Menurut laporan, RP ketika itu mahu mendisiplinkan beberapa pelajar yang tidak menunaikan solat subuh.
Sebilangan pelajar yang didapati tidak bersolat diarah berdiri di hadapan kelas termasuk mangsa.
Ketika mangsa berjalan ke hadapan, dia disambut oleh sorakan beberapa murid lain, menyebabkan pelajar tersebut mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka.
Mendengarkan kata-kata itu, RP menampar mangsa sebagai hukuman, membuatkan perbuatan tersebut dilaporkan kepada polis pada September lalu.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Malang, Inspektor Nurlehana, kes tersebut bagaimanapun sudah selesai selepas kedua-dua pihak berbincang.
“Hasil daripada perbincangan, pelapor memaafkan pelaku dan mereka sepakat untuk menutup kes tersebut,” ujarnya. – AGENSI