LONDON – Seramai 35 orang guru melakukan mogok selama dua hari berikutan tingkah laku keji para pelajar sebuah sekolah di Wales, Britain, lapor portal berita MailOnline semalam.
Langkah itu diambil sebagai tindak balas kepada tingkah laku buruk seperti pelajar menanggalkan seluar di hadapan guru wanita dan menggelar guru dengan gelaran yang tidak baik.
Kejadian berlaku di Sekolah Ysgol Nantgwyn yang mempunyai seramai 1,000 murid.
Bagaimanapun, tindakan pentadbiran sekolah yang menyediakan aktiviti menyeronokkan untuk para pelajar semasa ketiadaan guru selama dua hari menjadi perhatian ramai.
Sebuah syarikat zoo haiwan peliharaan, A&S Animal Encounters dibayar untuk menghiburkan pelajar dan membawa masuk pelbagai jenis haiwan termasuk ular dan meerkat.
Sebuah lagi syarikat turut menyediakan istana lantun untuk pelajar bermain bagi mengisi masa terluang di sekolah.
Eksekutif Kebangsaan Kesatuan Perguruan Nasuwt, Sharron Daly menyelar tindakan itu dengan berkata: “Mesejnya adalah jika anda berkelakuan buruk, anda akan diberi ganjaran dengan istana lantun dan waktu tengah hari yang di luar jadual (aktiviti).” – AGENSI