Guru ‘fed up’, ramai letak jawatan

Korea guru

GAMBAR fail seorang guru mengajar di sebuah sekolah di Seoul. – Foto AFP

SEOUL – Bilangan guru yang meletakkan jawatan sebelum umur persaraan semakin membimbangkan sepanjang lima tahun lalu di Korea Selatan, lapor portal berita The Korea Times semalam.

Lebih 32,000 warga pendidik telah meletakkan jawatan dalam tempoh tersebut,  manakala lebih 3,300 guru meninggalkan profesion itu untuk tahun semasa.

Ahli Jawatankuasa Pendidikan Perhimpunan Kebangsaan, Jung Sung-kook daripada  Parti Kuasa Rakyat yang memerintah berkata, bilangan guru yang meletakkan jawatan sebelum persaraan rasmi mereka telah meningkat dengan ketara.

Beliau membuat pendedahan itu berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.

Dari 2019 hingga 2023, seramai 32,704 guru sekolah rendah, menengah dan tinggi telah meninggalkan jawatan mereka. 

Peletakan jawatan itu meningkat dengan ketara iaitu daripada 5,937 orang pada 2019 kepada 7,404 guru pada 2023.

Peningkatan dalam perletakan jawatan berlaku secara sukarela tanpa mengira tahun perkhidmatan mereka, menyerlahkan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat dalam profesion itu. 

“Peningkatan berterusan dalam peletakan jawatan secara sukarela dan peningkatan dalam persaraan awal menyerlahkan bahawa masalah ini adalah kritikal. 

“Kerajaan perlu bertindak segera dan berkesan untuk menangani cabaran pengurusan pelajar, kuasa pengajaran yang lemah dan pampasan yang rendah untuk mengekalkan pendidik yang berbakat,”kata Sung-kook.

Pada masa yang sama, persaraan kehormat iaitu yang membenarkan guru yang berkhidmat lebih 20 tahun bersara awal juga meningkat, daripada 5,242 orang pada 2021 kepada 6,480 pendidik pada 2023. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *