Guru besar berenang periksa sekolah tenggelam banjir

TUA

VIET berenang di dalam banjir untuk  memeriksa keadaan Sekolah Rendah Quang Vinh di wilayah Cao Bang, utara Vietnam pada 24 Ogos lalu. – AGENSI 

HANOI  –  Gambar guru besar sebuah sekolah rendah di wilayah Cao Bang, utara Vietnam berenang di dalam air banjir untuk memeriksa sekolahnya menjadi viral di laman sosial, lapor laman berita VN Expres semalam. 

Guru besar Sekolah Rendah Quang Vinh, Hoang Van Viet dilihat berenang di pekarangan sekolah tersebut di mukim Vinh  dalam gambar yang dikongsikan secara online.

Viet berkata, dia dan anak lelakinya melakukan perjalanan sejauh 40 kilometer dari rumah mereka ke sekolah pada 24 Ogos lalu dan anak lelakinya merakam gambar tersebut.

Hujan berterusan menyebabkan berbilang kawasan di Cao Bang dilanda banjir dengan mukim Vinh merekodkan taburan hujan berjumlah 145.22 milimeter pada 23 Ogos lepas, antara tertinggi di wilayah Cao Bang.

Bimbang tentang infrastruktur sekolahnya, Viet berasa bertanggungjawab untuk bertindak.

“Saya berfikir bahawa jika sekolah saya dilanda banjir, ia menjadi tanggungjawab saya untuk menguruskan dan melindunginya. Sekolah saya adalah rumah kedua saya,” katanya.

Setibanya di sekolah berkenaan, dia mendapati paras naik naik setinggi kira-kira 1.5 meter.

Tidak mempedulikan tentang keselamatannya, Viet berenang ke dalam bangunan sekolah dan memeriksa setiap bilik darjah sebelum berkunjung ke tingkat dua untuk melakukan perkara serupa.

“Namun, saya hanya mampu melihat. Ini adalah bencana alam semula jadi. Tiada apa yang dapat saya lakukan,” katanya.

Menjelang 26 Ogos lepas, paras air naik melebihi 3 meter dan menenggelamkan 1.5 tan beras yang disimpan untuk bekalan makan tengah hari para pelajar.

Sekolah itu memiliki 116 murid dengan kebanyakan mereka berasal daripada etnik minoriti HMong dan Nung.  Sekitar 90 peratus pelajar berasal dari keluarga miskin dan menerima manfaat daripada dasar sokongan pemerintah. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *