Siapa sangka dua sahabat yang menetap lama di perantauan kerana melanjutkan pelajaran dan bekerja separuh masa dalam bidang pelancongan di Turki dan Uzbekistan untuk menampung pendapatan, telah membolehkan mereka membina hubungan yang baik dengan beberapa syarikat terkemuka di sana sekali gus berjaya membangunkan syarikat sendiri di Malaysia.
Kekangan pandemik lalu tidak melemahkan semangat Pengasas ATN Malaysia dan Turki, Izham Istar Ibrahim Istar untuk mengoperasikan perniagaan yang diasaskannya sejak tahun 2018 dan pelantikan syarikat menjadi Passenger Sales Agent (PSA) oleh Uzbekistan Airways pada tahun 2021 memberi peluang kepadanya untuk terus berdiri kukuh dalam industri berkenaan.
Bersandar pengalamannya menetap selama 16 tahun di Turki dan dua tahun di Uzbekistan untuk menyambung pelajarannya memberi satu kelebihan kepada ATN mempromosikan pakej pelancongan khususnya cara ‘Malaysian’ kepada pelancong tentang aspek hotel, tempat tarikan yang dilawati dan restoran yang menawarkan menu lazat yang memenuhi selera pelanggannya.
“Kami menjadi kebanggaan guru-guru di sana (Uzbekistan) yang mana sebelum ini kami berdepan dengan pelbagai cabaran dan pengalaman membuatkan kami begitu matang, berilmu dan berpengalaman tentang selok belok sejarah dan negara berkenaan,” katanya ketika ditemui di Wisma Central baru-baru ini.
Turut hadir pada sesi temubual tersebut adalah Pengurus untuk Uzbekistan Airways, Ibrahimov Mujib.
KOSMO!: Boleh jelaskan tentang perkembangan terbaharu syarikat?
Izham: Kami sememangnya memiliki hubungan yang baik dengan syarikat Uzbekistan Airways sejak tahun 2018 dan begitu aktif menjadi ejen kepada syarikat tersebut.
Tetapi ketika itu, kami lebih menjurus kepada pasaran B2B iaitu perniagaan kepada perniagan yang mana kami tawar perkhidmatan kepada ejen pelancongan untuk pakej Rusia, Turki dan Uzbekistan.
Melalui pengalaman dan operasi asas yang dibangunkan itu, ia memudahkan kami untuk meneruskan perniagaan ini selepas pandemik yang mana kami sudah ada asas dan data yang kukuh untuk membolehkan kami mencari pelanggan sedia ada dan baharu.
Adakah ATN menjadi satu-satunya syarikat bumiputera yang dilantik sebagai PSA?
Pada tahun 2021, apabila Uzbekistan Airways kembali beroperasi dan aktif membuka laluan semula ke Malaysia, secara automatik, kami dilantik sebagai PSA yang mana kami boleh menawarkan khidmat jualan tiket dan juga ground (pakej pelancongan) kepada pelanggan.
Mereka mengambil kira rekod jualan sebelum ini kerana kami prestasi jualan kami sangat menggalakkan, sejurus pelantikan tersebut, kami telah membuka sebuah pejabat yang menawarkan perkhidmatan jualan dan promosi di Wisma Central, Kuala Lumpur bagi meningkatkan keyakinan pelanggan sekali gus memberi khidmat terbaik kepada mereka yang berminat untuk melancong ke Uzbekistan.
Ini menunjukkan betapa seriusnya kami dalam bidang ini kerana kami nampak ia satu pasaran berpotensi untuk diteroka.
Adakah ATN boleh menjual produk dan perkhidmatan di luar Malaysia?
Selepas pandemik, terdapat PSA khusus di Indonesia yang mana pelancong terbang terus dari Jakarta ke Taskent berbanding dulu mereka perlu singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kemudian tebang terus ke Taskent.
Bagaimanapun, digitalisasi yang membolehkan akses sistem global dipermudahkan dan sistem kami lebih canggih dan terbaik, jadi kami boleh mengeluarkan tiket penerbangan dari mana sahaja pelanggan itu berada di seluruh dunia kerana kami memiliki jaminan bank yang kukuh.
Kami tidak ‘kacau’ pasaran di Jakarta tetapi kami mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan dari sekitar kepulauan Sumatera.
Fokus kami juga terarah di kawasan berkenaan kerana pelanggan yang tinggal di kepulauan tersebut jika mahu keluar negara, terpaksa singgah di KLIA terlebih dahulu yang mana tempoh penerbangannya adalah kira setengah jam atau 45 minit sahaja. Fokus kami adalah daripada pelanggan dari Batam, Bukit Tinggi, Padang dan Acheh.
Apakah pakej pelancongan yang ditawarkan ATN?
Terdapat tiga kali penerbangan Uzbekistan Airways ke KLIA iaitu pada hari Isnin, Khamis dan yang terbaharu adalah pada hari Sabtu. Destinasi paling popular adalah destinasi utama ke Uzbekistan yang menawarkan perjalanan selama tujuh hari enam malam.
Yang terbaharu adalah singgah ziarah dalam pakej umrah yang membolehkan pelanggan melawat ke pelbagai tempat sejarah Islam di Uzbekistan selama empat hari tiga malam dan meneruskan penerbangan untuk menunaikan Umrah.
Singgah ziarah di Uzbekistan boleh dilakukan sama ada ketika dalam perjalanan pergi ataupun balik.
Pakej umrah tersebut akan dikendalikan oleh syarikat pengendali yang lain jadi kami akan suai padankan pakej ziarah ke Uzbekistan dengan mana-mana syarikat yang bekerjasama dengan kami. Kami juga menawarkan satu pakej menarik yang mana kami gabungkan tiga negara iaitu Uzbekistan, Kazakhstan dan Kyrgyzstan.
Selain itu, pakej popular kami adalah ke Russia yang mana selepas singgah di Uzbekistan, pelancong di bawa ke Russia bermula dari Moscow dan juga St Petterburg dan destinasi lain yang menarik. Pakej tersebut agak panjang iaitu kira-kira selama 13 hari.
Boleh jelaskan tentang destinasi popular pelancong di negara tersebut?
Antaranya adalah melawat makam cendekiawan Islam seperti Makam Ismail Samany dan Chasma Ayub di Bukhara, melawat Kompleks Poi Kalon, Masjid Kalon, Menara Kalon dan Madrasah Mir Arab, melawat Makam Sheikh Bahauddin Naqshban di Gijduvan, melawat Makam Imam Bukhari, melawat bandar tertua di Samarkand, Shakhi Zinda, Necropolis dan Gur Emir serta melawat Masjid Bibikhonmun serta melawat Kompleks Khasti Imam yang terdiri daripada Madrasah Barak Khan dan Museum of Quran yang mana Al-Quran Othman abad VII yang asli yang ditulis pada kulit rusa.
Siapakah yang mengikuti pakej yang ditawarkan dan bilakah masa yang terbaik untuk melawat Uzbekistan?
Kebanyakannya adalah warga emas dan pesara. Pelanggan kami juga terdiri daripada golongan intelektual, profesor, pengkaji sejarah, pelajar dan mereka yang sangat meminati sejarah Islam kerana di sini terdapat banyak tinggalan sejarah Islam yang terkenal.
Bagi mereka yang suka membeli-belah, disini boleh membeli kain sutera dan jika mahu bermain salji ada masa yang bersesuaian untuk mereka bermain salji. Pelancong digalakkan berkunjung pada bulan September dan Oktober kerana ketika itu adalah musim buah yang membolehkan mereka memetik buah-buahan segar daripada pokok di ladang. Iteenews