Greenwood ‘dianak tiri’ Ligue 1

Mason Greenwood

GREENWOOD (kiri) tiada dalam senarai calon berbanding Vitinha (kanan) untuk anugerah Pemain Terbaik Ligue 1 musim ini. – AFP

MARSEILLE – Bekas bintang buangan Manchester United, Mason Greenwood mengakui tidak ‘makan hati’ meskipun namanya tiada dalam senarai calon Pemain Terbaik Ligue 1 meskipun telah mempamerkan aksi konsisten bersama Olympique Marseille sepanjang musim ini.

Greenwood tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan saingan liga utama di Perancis itu apabila menjaringkan 18 gol dalam aksi liga selepas dilepaskan secara tetap oleh United tahun lalu.

Malah, bintang kontroversi itu turut menjadi watak penting buat Marseille yang kini berada di kedudukan kedua Ligue 1 sekali gus hampir pasti layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

Menurut Greenwood, keputusan Ligue 1 untuk tidak meletakkannya dalam senarai ‘Top 5’ anugerah pemain terbaik adalah di luar kawalannya.

“Saya langsung tidak kisah dengan situasi itu. Fokus utama sekarang adalah untuk membantu pasukan layak ke UCL,” kata pemain sayap berusia 23 tahun itu.

Lima pemain yang berebut pengiktirafan berprestij peringkat domestik itu adalah empat pemain Paris Saint-Germain (PSG) iaitu Ousmane Dembele, Desire Doue, Vitinha dan Achraf Hakimi selain tonggak Olympique Lyon, Rayan Cherki.

Greenwood sebelum ini berjaya mendapat pengiktirafan di Sepanyol apabila menerima anugerah pemain terbaik Getafe ketika dipinjamkan daripada United musim 2023/2-24. – AGENSI