Grealish, bintang yang kini \’dibuang\’ City

Jack Grealish

GREALISH dikaitkan dengan spekulasi perpindahan menyertai Forest selepas tiada dalam perancangan City musim depan. – AFP

MANCHESTER – Nasib malang terus menimpa Jack Grealish daripada pemain Inggeris termahal dengan harga £100 juta (RM574.29 juta) empat musim lalu kepada kini berstatus menanti masa dibuang oleh Manchester City.

Grealish yang dibeli daripada Aston Villa pada 2021, seakan diberi isyarat jalan keluar oleh City selepas namanya tidak disenaraikan untuk menghadapi Piala Dunia Kelab 2025 di Amerika Syarikat bermula 15 Jun ini.

Situasi City dikatakan sudah bersetuju secara lisan dengan tonggak AC Milan, Tijjani Reijnders dan bintang muda Lyon, Rayan Cherki mengukuhkan lagi spekulasi Grealish tiada dalam perancangan musim depan.

Difahamkan, Grealish kini dikaitkan dengan Nottingham Forest yang akan bersaing di Liga Konferens Europa musim depan, namun ia dilihat sukar disebabkan gajinya agak tinggi bernilai £300,000 (RM1.72 juta) seminggu.

“Jack (Grealish) perlu bermain kerana dia seorang pemain yang cukup hebat. Malangnya, ia tidak berlaku musim ini apabila dia gagal beraksi untuk setiap tiga hari.

“Persoalan sekarang terletak kepada dirinya. Jika dia mahu kekal, dia perlu bersaing dengan semua orang dari hari pertama, bukannya waktu-waktu tertentu sahaja.

“Tiada masalah peribadi kerana saya sendiri yang mahukannya sebelum ini. Dia perlu menyedarinya atau dia perlu mencari tempat baharu,”kata pengurus City, Pep Guardiola.

Sebagai rekod, Grealish, 29, hanya beraksi tujuh perlawanan dalam kesebelasan utama musim ini. – AGENSI