WASHINGTON – Enjin carian popular, Google memberi amaran kepada 1.8 bilion pengguna aplikasi Gmail untuk segera memadamkan sejenis e-mel yang cuba memperdayakan mereka, lapor portal berita MailOnline semalam.
Ia menjelaskan bahawa e-mel itu kelihatan seperti datang daripada Google.
Penipuan baharu itu dikenali sebagai serangan e-mel ‘no-reply’ kerana mangsa menerima mesej yang kononnya datang daripada [email protected].
Penerima akan menemui notis mendakwa bahawa Google telah disepina oleh penguatkuasa undang-undang untuk mendedahkan semua butiran peribadi dalam akaun pengguna.
Namun, pegawai syarikat menyatakan e-mel itu adalah palsu dan dicipta oleh penipu di internet yang ingin mendapatkan akses kepada maklumat peribadi mangsa.
Serangan dicetuskan apabila pengguna Gmail mengklik pautan dan kemudian memuat turun atau meluluskan kebenaran untuk melihat dokumen undang-undang palsu itu.
Melalui cara itu, mangsa tanpa sedar memberikan penipu tersebut akses kepada akaun Google mereka, seperti keupayaan untuk membaca e-mel atau mengakses fail.
Dalam sesetengah kes, memuat turun fail Google palsu akan menyebarkan perisian ‘jahat’ ke dalam peranti mangsa, iaitu perisian berbahaya yang boleh mencuri lebih banyak maklumat termasuk kata laluan dan butiran bank. – AGENSI