KUALA LUMPUR – Geng Castello yang aktif menyeludup keluar migran dengan bayaran sehingga RM2,300 setiap seorang tumpas dalam dua siri serbuan di Tanjung Karang dan Rawang, Selangor, Rabu lalu.
Op Pintas itu dijalankan sepasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan pertama bersama Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mengesan sebuah bot pancung dan sampan di jarak 0.5 batu nautika Pantai Sungai Bagan Tengkorak, Tanjung Karang.
“Susulan itu, seramai 36 migran warga Indonesia terdiri daripada 19 lelaki, 14 wanita dan tiga kanak-kanak berusia 2 hingga 48 tahun telah ditahan.
“Polis turut menahan dua lelaki Indonesia berperanan sebagai tekong,”katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Soffian memaklumkan serbuan kedua dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menggempur sebuah rumah di Kundang, Rawang.
Menurut beliau, serbuan pukul 6 petang itu membawa kepada penahanan 26 warga Indonesia membabitkan 20 lelaki, lima wanita serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 hingga 49 tahun.
“Siasatan awal mendapati 26 tangkapan merupakan migran, manakala dua lagi masing-masing berperanan sebagai pembantu transporter serta penjaga rumah transit,” katanya.
Jelas Soffian, Geng Castello yang ditumpaskan itu telah aktif sejak enam bulan lalu dan menawarkan perkhidmatan membawa migran tidak mempunyai dokumen sah keluar dari Malaysia melalui jalan laut.
“Setiap migran dipercayai membayar RM1,500 hingga RM2,300 untuk keluar dari Malaysia yang dibayar kepada ejen di Indonesia,”katanya.
Tegasnya, kesemua tangkapan masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan IPD Sungai Buloh.
Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 26A Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama. – https://amiminerals.org/