Gempa kuat gegar pesisir Amerika Syarikat, penduduk gempar amaran tsunami

Amaran tsunami

GEMPA bumi berukuran 7.0 magnitude berlaku di luar pantai California. – Foto USGS

WASHINGTON –  Amaran tsunami dikeluarkan merentasi Pantai Barat Amerika Syarikat (AS),  namun ditarik balik tidak lama kemudian selepas  situasi  panik tercetus dan mendorong penduduk untuk berpindah, lapor portal New York Post semalam.

Amaran rasmi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan itu dikeluarkan selepas gempa bumi kuat bermagnitud  7.0 menggegarkan perairan utara negeri California, dekat bandar Eureka pada 10.44 pagi (waktu tempatan) semalam.

Sekurang-kurangnya 5.3 juta orang di California terlibat dengan amaran itu yang meliputi jarak lebih 804 kilometer dari kawasan pantai di negeri Oregon hingga ke Teluk San Francisco. 

Ramai penduduk digesa berpindah ke kawasan lebih tinggi dalam masa singkat kerana ombak besar berlaku selepas waktu tengah hari (waktu tempatan).

Siren tsunami berbunyi di beberapa daerah dengan amaran turut diikeluarkan menerusi telefon bimbit.

Situasi cemas mendorong  pantai-pantai dikosongkan, pelajar dikeluarkan dari sekolah, manakala  perkhidmatan kereta api menghubungkan San Francisco ke Oakland tergendala. Orang ramai pula bergegas ke jalan-jalan raya.

Sejurus sebelum tsunami sepatutnya melanda, amaran itu ditarik balik dengan  warga California menarik nafas lega.

“Ia adalah gempa kuat, bangunan kami bergegar. Kami kehilangan banyak barang. Gegaran yang berlaku lebih teruk daripada dua tahun lalu,” kata penduduk setempat, Julie Kreitzer yang memiliki premis perniagaan berhampiran pusat gempa, dalam zon amaran.

Premis perniagaan Kreitzer tidak mengalami kerosakan besar tetapi ruang dalam musnah akibat gegaran. Menurut pihak berkuasa, tiada kerosakan teruk atau kecederaan  dilaporkan setakat ini.

Bagaimanapun, tidak semua orang mengambil berat tentang amaran itu.

Sebilangan peluncur melanggar amaran dan menuju ke persisiran pantai untuk melihat  ombak di Pacifica, selatan San Francisco.

Dalam pada itu, gegaran  susulan terus dirasai di seluruh rantau itu yang merupakan kejadian biasa setiap kali gempa bumi berlaku.

Gempa bumi dahsyat dengan kekuatan 7.9 magnitude pernah berlaku di San Francisco pada 1906, membunuh seramai 3,000 orang. – AGENSI