Gempa bumi gegar bandar Amerika

AS Gempa

BATU jatuh dari tebing selepas gempa bumi berlaku dekat San Diego semalam. – Foto Facebook/Caltrans District 11

WASHINGTON – Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.2 dekat menggegarkan rantau California Selatan pagi kelmarin lapor akhbar New York Post.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), gempa bumi itu berpusat dekat bandar San Diego tetapi gegarannya dirasai sehingga ke kota raya Los Angeles pada jarak lebih 161 kilometer.

Gegaran berlaku kira-kira pukul 10.08 pagi (waktu tempatan) dengan pusat gempa dikesan berhampiran pekan Julian, timur laut San Diego.

“Lindungi diri anda,” kata pihak berkuasa ketika mengeluarkan amaran kecemasan apabila jalan raya dan bangunan bertingkat bergegar.

Rakaman video tersebar di media sosial menunjukkan gempa bumi itu menakutkan haiwan peliharaan, menyebabkan pinggan mangkuk jatuh dari rak dan botol-botol minuman pecah bertaburan.

Gegaran yang berlaku juga cukup kuat untuk menggegarkan kereta dan cermin tingkap.

Satu rakaman video memaparkan air kolam renang beralun dan klip video lain menunjukkan perkakas rumah bertaburan di dapur.

Setakat ini tiada laporan mengenai kecederaan atau kematian, kata pihak berkuasa. – AGENSI