LOS ANGELES, CALIFORNIA – Satu gempa bumi berkekuatan 3.9 magnitud menggegarkan Hollywood, California ketika bintang-bintang terkemuka berkumpul untuk berparti selepas acara anugerah Oscars, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Pusat gempa diukur di Hollywood Utara, hanya beberapa kilometer dari tempat majlis anugerah berprestij tersebut diadakan di Teater Dolby.
Wartawan BBC yang membuat liputan Anugerah Akademi di tengah Hollywood itu melaporkan merasai gegaran kuat, manakala sebilangan tetamu menjerit susulan gegaran yang menakutkan.
Emma Vardy berkata, dia sedang membaiki solekan untuk beberapa penggambaran Oscar terakhir apabila gempa berlaku.
Anting-anting berlian miliknya bergoyang-goyang di cermin, dan dia menyedari bangunan tinggi yang didudukinya bergegar.
“Merasakan bangunan sebesar itu bergoyang seperti jeli adalah satu pengalaman yang cukup menakutkan,” katanya.
Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan. Gempa itu berlaku sejurus selepas pukul 10 malam (waktu tempatan) ketika selebriti menghadiri parti Vanity Fair.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi itu dirasai beberapa kilometer di seluruh bandar Los Angeles.
Namun, tiada amaran tsunami dikeluarkan dalam gempa bumi kecil itu. – AGENSI