JAKARTA – Tiga lelaki terkejut apabila menemui sekeping gambar wanita di dalam kain perca berwarna putih yang diikat menyerupai jenazah di tanah perkuburan, lapor laman berita Bengkulu Network semalam.
Kejadian berlaku apabila Boni, Ari dan Viki menziarahi sebuah kawasan perkuburan di Rejang Lebong, wilayah Bengkulu.
Menurut Boni, mereka ketika itu menziarahi kubur neneknya di kawasan perkuburan tersebut.
Ketika membersihkan rumput-rumput di sekeliling kubur neneknya, mereka terkejut apabila menemui kain putih tertanam di situ.
Berdasarkan sebuah video yang dimuat naik di laman sosial, sehelai kain perca putih diikat berbentuk jenazah.
Setelah dibuka, mereka menemui sekeping gambar wanita dalam keadaan sudah lusuh di dalam kain itu, selain beberapa batang paku.
“Pada awalnya, kami tidak tahu apa isinya. Namun selepas dibuka, kami menemui gambar seorang wanita yang sudah lusuh dan tiga batang paku yang sudah berkarat,” kata Boni.
Mereka kemudian membakar kain tersebut dan semua isinya serta berharap agar tiada perkara buruk berlaku kepada wanita dalam gambar berkenaan. – AGENSI