JAKARTA – Seorang lelaki di Indonesia menjadi perhatian ramai kerana menangis di atas pelamin ketika menghadiri majlis perkahwinan bekas kekasihnya, lapor portal berita Wolipop semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @agusbahrian24, lelaki itu dilihat naik ke atas pelamin lalu bersalaman dengan pengantin lelaki.
Suasana ceria bertukar janggal apabila dia menangis teresak-esak di khalayak ramai.
“Saya tidak sanggup menyaksikan detik ini tetapi kita hanya manusia lemah yang mampu mengikhlaskan. Terima kasih wanita baik dan hebat. Saya gembira mengenalimu,” demikian menurut keterangan video itu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 689,800 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.
“Pengantin lelaki itu lebih ‘sakit’ daripada anda,” kata seorang netizen.
“Sakitnya sampai sini,” komen netizen lain. – AGENSI