BERLIN – Filipina muncul sebagai negara paling berisiko untuk menghadapi bencana alam, ketika pakar-pakar menekankan keadaan iklim lembap di tengah-tengah cuaca yang semakin buruk dan ekstrem, lapor akhbar Arab News.
Menurut Laporan Risiko Dunia 2024, negara kepulauan yang mempunyai hampir 120 juta penduduk itu tidak asing lagi dengan kejadian bencana alam.
Berjuta-juta orang kerap kehilangan tempat tinggal semasa ribut dan taufan tahunan, yang menjadi semakin sukar diramal dan ekstrem ekoran perubahan iklim.
Bagi tahun ketiga berturut-turut, Filipina mendahului Indeks Risiko Dunia bagi laporan sama, yang memperincikan risiko bencana di 193 buah negara.
Diterbitkan oleh institut penyelidikan IFHV yang berpangkalan di Jerman dan pakatan organisasi pembangunan, Bundnis Entwicklung Hilft, lima negara utama paling berisiko tahun ini selain Filipina adalah Indonesia, India, Colombia dan Mexico.
“Lima negara utama itu terjejas oleh bencana alam melampau yang sangat kerap dan teruk. Kami menggelarnya ‘pendedahan yang tinggi’,” kata Penyelidik Kanan Kesiapsiagaan Bencana di Universiti Ruhr Bochum, Katrin Radtke yang turut mengetuai laporan berkenaan.
Menurut seorang pakar pemuliharaan Filipina, Ann Dumaliang, berlakunya keadaan cuaca ekstrem yang ketara, haba musim panas dengan rekod tertinggi, musim yang tidak dapat diramalkan serta taufan berintensiti dan frekuensi tinggi di negara itu.
Pada bulan ini, lebih 12 orang terbunuh apabila Taufan Yagi yang dikenali penduduk tempatan sebagai Enteng, melintasi tengah dan utara Filipina, sebelum ia mendatangkan malapetaka di selatan China dan sebahagian Vietnam serta Thailand.
Bagi rakyat Filipina, ia adalah ribut tropika kelima yang melanda negara mereka sejak Mei.
Menurut Dumaliang, adalah lebih tepat untuk menggambarkan bencana alam sebagai ‘realiti geografi’ disebabkan sifat negara kepulauan itu dan lokasinya di Lingkaran Api Pasifik.
“Aspek-aspek itu didorong oleh punca-punca ‘perbuatan manusia’ yang membawa kepada kerosakan alam sekitar yang berterusan serta infrastruktur lemah,” tambahnya.
Sementara itu, program berita DW melaporkan, dari segi negara yang paling teruk terjejas, lapan daripada 10 negara berada di benua Afrika dalam laporan serupa.
Baki dua lagi negara iaitu Afghanistan dan Yemen yang dilanda perang selama beberapa dekad, mungkin terdapat sedikit penyedia kesihatan dan katil hospital misalnya. Ini bermaksud lebih ramai orang berisiko mati dalam kes bencana alam.
Namun, jika sesebuah negara membuat pelaburan dalam kesiagaan bencana, bahaya semula jadi dilihat tidak semestinya membawa kepada impak bencana kepada ramai orang.
Ini menjelaskan sebab negara kaya seperti Amerika Syarikat atau Australia, tidak berada di kedudukan lebih tinggi dalam Indeks Risiko Dunia walaupun ia terdedah kepada bencana alam seperti kemarau, gempa bumi dan ribut.
Buktinya, China berada di kedudukan ke-22 dalam Indeks Risiko Dunia iaitu 12 tempat lebih baik berbanding tahun lepas.
“China dapat mengurangkan risikonya dengan ketara berdasarkan tindak balas kepada pandemik Covid-19,” jelas Radtke sambil menambah, pemerintah negara itu melabur banyak dalam sistem penjagaan kesihatan seperti membina hospital baharu dan melancarkan kempen vaksinasi berskala besar.
Dalam pada itu, Malaysia berada pada kedudukan ke-34 bagi indeks berkenaan dengan risiko dalam kategori sangat tinggi. – AGENSI