BEIJING – Aktres China, Fan Bingbing mendedahkan bahawa dia sengaja menambah berat badan 10 kilogram untuk watak sebagai penghalau hantu dalam filem terbarunya bertajuk Mother Bhumi, lapor laman berita VNExpress hari ini.
Pelakon usia 43 tahun itu berkata, dia mengamalkan diet penambahan berat badan termasuk makan lebih banyak dan menjalani sesi menggelapkan kulit supaya bersesuaian dengan wataknya, seperti dilaporkan HK01
Selepas produksi filem itu selesai pada November lalu, Bingbing mengamalkan diet dan senaman ketat untuk kembali kepada fizikal asalnya. Bercerita tentang watak tersebut, aktres itu berkata: “Manusia secara semula jadi adalah tidak sempurna, hanya anak patung yang sempurna(fizikal)”.
Mother Bhumi merupakan produksi bersama Malaysia-Itali berkisar pada era 1990-an. Ia menampilkan Bingbing sebagai seorang janda dan petani bernama Hong Im yang tinggal di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Karakternya menggunakan kuasa luar biasa untuk membantu penduduk kampung di samping cuba menyelesaikan misteri kehilangan suaminya.
Filem itu dijadualkan menemui peminat di layar perak tahun depan. – AFP