Era kegemilangan kereta Barat di China berakhir

Cover China01 scaled

Kereta EV jenama BYD dipamerkan di Pameran Auto Beijing, April lalu. – AFP

BEIJING – Era kegemilangan syarikat pembuat kereta asing yang menjual berjuta-juta kenderaan dan mengaut keuntungan besar di China sejak beberapa dekad lalu semakin berakhir secara mendadak, lapor laman saluran berita CNN.

Situasi itu berlaku ekoran peningkatan pesat bagi jualan kenderaan elektrik (EV) buatan tempatan seperti BYD dan Xpeng (XPEV) sehingga menyebabkan gergasi pengeluar kereta dunia mengalami kerugian.

Isnin lalu, syarikat Volkswagen memberi amaran bahawa ia mungkin menutup kilangnya di Jerman dalam usaha untuk mengurangkan kos pengeluaran.

Ia merupakan kali pertama dalam sejarah bagi pengumuman seumpamanya sekali gun membuktikan cabaran sengit yang dihadapi pembuat kereta tradisional.

Tahun lepas, syarikat itu kehilangan gelarannya sebagai jenama kereta paling laris di China kepada BYD, yang dipegangnya sejak sekurang-kurangnya pada tahun 2000.

Namun, Volkswagen yang merupakan pembuat kereta kedua terbesar dunia selepas Toyota, bukanlah satu-satunya syarikat yang menghadapi masalah.

Ford dan General Motors (GM) juga merupakan antara firma yang melihat jualan dan bahagian pasarannya menyusut di China apabila pengguna tempatan menolak jenama luar negara serta memilih kenderaan buatan tempatan.

Pada Julai lalu, bahagian pasaran bagi jualan kereta jenama asing di China merosot kepada 33 peratus daripada 53 peratus pada tempoh sama dua tahun sebelumnya, demikian menurut data daripada Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA).

Oktober lalu, Mitsubishi Motors dari Jepun mengumumkan bahawa ia akan menamatkan pengeluaran keretanya melalui usaha sama di China, berikutan jualan yang merosot selama bertahun-tahun. 

Honda, Hyundai dan Ford juga telah mengambil langkah drastik, termasuk pemberhentian dan penutupan kilang bagi mengurangkan kos, demikian menurut pemfailan bursa saham dan beberapa laporan media.

“Era kegemilangan menikmati kadar pertumbuhan yang tinggi dan keuntungan besar (di China) telah berakhir,” kata seorang veteran industri automotif dan Ketua Pegawai Eksekutif Dunne Insights, Michael Dunne. Ia merupakan sebuah syarikat perundingan yang memberi tumpuan kepada EV.

Sebelum itu, walaupun pemerintah China memberikan subsidi kepada pengeluar EV dan bateri tempatan di bawah strategi Buatan China 2025, pembuat kereta asing masih terus memperoleh keuntungan menjual kereta konvensional kerana pengguna masih memilih kenderaan segmen tersebut.

Namun, pada Disember 2019, Tesla Model 3 buatan China yang pertama, dikeluarkan di Shanghai. Menurut Dunne, trend mula berubah ketika itu.

“Seolah-olah satu keajaiban berlaku. Pengeluaran Model 3 Tesla di Shanghai mengubah perspektif pengguna tentang kereta elektrik,” tambahnya.

Ia memberi ‘kesan baik’ kepada pembuat EV China seperti BYD, Neo, dan Li Auto, yang telah menambah baik kenderaan elektrik mereka secara berterusan selama beberapa tahun. Mereka juga bersedia untuk memanfaatkan lonjakan terhadap permintaan mendadak.

Tahun lepas, BYD mencipta rekod jualan 3.02 juta kenderaan di seluruh dunia termasuk hibrid plug-in yang meningkat 62 peratus berbanding 2022. 

Sebagai perbandingan, Volkswagen hanya menjual 1.02 juta kenderaan elektrik dan hibrid plug-in, meningkat 26 peratus pada 2022, manakala Tesla menjual EV sebanyak 1.8 juta unit.

Agensi Tenaga Antarabangsa pula mengunjurkan bahawa jualan bateri elektrik dan kenderaan hibrid plug-in di China akan mencecah 10 juta unit pada tahun ini. 

Ia merangkumi hampir separuh daripada jualan kereta di negara itu, meningkat daripada hanya 1.1 juta unit pada empat tahun lalu. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *