EPL: Vardy beri amaran buat pemain pertahanan

JAMES VARDY

VARDY meledak gol penyamaan untuk membantu Leicester mengikat Spurs pada aksi pertama EPL musim ini. – AFP

LEICESTER – Penggempur veteran Leicester City, Jamie Vardy percaya bahawa dia mampu untuk terus memberikan ‘mimpi ngeri; buat pemain pertahanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Awal pagi semalam menyaksikan pemain berusia 38 tahun itu berjaya meledak gol penyamaan ketika Leicester mengikat Tottenham Hotspur 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium King Power untuk pendatang baharu itu meraih mata pertama.

Biarpun pada awalnya, Vardy dijangka tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan lutut, namun dia disenaraikan sebelum meledak gol tersebut untuk mengumpul lapan jaringan dalam aksi pembukaan EPL keseluruhan dan hanya ketinggalan satu gol berbanding Mohamed Salah.

“Saya hanya melihat usia hanyalah sebagai nombor. Selagi saya mampu menjaga tahap fizikal dan kaki saya masih dalam keadaan baik, saya akan teruskannya.

“Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa yang luar biasa, cuma saya akan teruskan apa yang sudah dilakukan sebelum ini. Saya hanya perlu menjaga diri saya sebaik mungkin untuk terus beraksi,” katanya yang menandatangani kontrak setahun bersama The Foxes.

Tambahnya, proses pemulihan selepas perlawanan adalah sangat penting pada usianya ketika ini dan memberikan fokus tersebut menggunakan beberapa peralatan yang dibelinya sendiri.

“Saya memiliki beberapa mesin yang diperlukan untuk proses pemulihan otot dan fizikal di rumah. Ia membantu saya untuk kekal cergas dan memulihkan diri setiap kali berakhirnya latihan atau perlawanan,” jelasnya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *