EPL: United mahu tambah masalah City

Man United 1

UNITED meraih tonik terbaik untuk aksi derbi Manchester susulan kemenangan dalam saingan Liga Europa baru-baru ini. – AFP

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim memulakan perang psikologi selepas mendakwa Manchester City sebagai pilihan utama menjelang aksi derbi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad tengah malam nanti.

Menurut Amorim, prestasi tidak menentu skuad The Citizens yang tewas tujuh kali dalam 10 perlawanan bukanlah medan buat pasukannya mendabik dada, sebaliknya perlu terus waspada dengan ancaman boleh diberikan pasukan tuan rumah.

Amorim berkata, pengalaman yang ada pada skuad kendalian Pep Guardiola selaku juara EPL empat kali berturut-turut itu bakal menjadi azimat penting buat mereka untuk elak daripada kekalahan sekali lagi.

“Saya rasa pasukan yang hebat pasti akan bangkit daripada belenggu prestasi. Buat masa sekarang, tiada apa yang boleh kami banggakan kerana City masih lagi berada di kelompok atasan liga.

“Mereka mempunyai corak permainan yang terbaik selain keyakinan para pemain juga pasti memuncak dalam usaha menutup mulut pengkritik terutama pada perlawanan derbi.

“Namun, saya mengingatkan pemain agar fokus kepada pasukan sendiri selain tidak terlalu fikirkan kekuatan atau kelemahan pasukan lawan.

“Secara jujur, bukan sahaja mereka yang bergelut tetapi kami juga berada dalam fasa transisi dan harap semua pemain dapat berikan yang terbaik pada perlawanan itu nanti,” katanya.

Penyerang utama United, Rasmus Hojlund mengakui barisan pemain sudah semakin selesa dengan falsafah bola sepak yang diterapkan oleh Amorim sejak pengendali Portugal itu rasmi menjadi jurulatih pada bulan lalu.

“Saya rasa kami semakin faham keinginan jurulatih pada sesi latihan tetapi harus diakui pemain perlukan masa untuk sesuaikan diri.

“Buat masa sekarang, masih terlalu awal tetapi segalanya nampak baik dengan pemain semakin selesa ketika sesi latihan dan perlawanan sebenar,” katanya. – AGENSI