MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui perubahan taktikal dengan meletakkan Jack Grealish di posisi No. 10 membuahkan hasil selepas membantu pasukan melakar kemenangan 3-0 ke atas Nottingham Forest awal pagi semalam.
Pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, skuad The Citizens berjaya hapuskan badi kekalahan empat aksi berturut-turut dengan meraih gol menerusi jaringan Bernardo Silva, Kevin de Bruyne dan Jeremy Doku.
Menurut Guardiola, strategi untuk merombak kesebelasan utama dengan meletakkan Grealish sebagai nadi penggerak jentera serangan boleh dianggap berjaya selain mahu pemain antarabangsa England itu teruskan momentum pada aksi akan datang.
“Saya gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh Grealish kerana membalas kepercayaan yang diberikan. Dia telah diberikan peranan selaku pemain No. 10 berbanding sayap seperti kebiasaan sebelum ini.
“Dia berjaya mengawal tempo perlawanan dan berusaha untuk mencari gol atau membuka ruang buat jentera serangan. Malah, dia juga memastikan kita mampu melancarkan serangan lebih pantas dan harap momentum itu dapat dikekalkan,” katanya.
Sementara itu, Guardiola mengakui resah apabila dua pemain pertahanan, Manuel Akanji dan Nathan Ake mungkin terpaksa disisihkan pada perlawanan akan datang selepas mengalami kecederaan.
“Saya tidak pasti situasi antara kedua-dua pemain ini tetapi apa yang boleh saya sahkan, mereka tidak akan beraksi pada perlawanan menentang Palace nanti. Cuma, saya jangka Phil Foden sudah bersedia untuk diturunkan selepas ini,” katanya. – AGENSI