EPL: \’Penyakit\’ lama Manchester United belum pulih

MANCHESTER UNITED 8

KERAPUHAN benteng pertahanan membuatkan United terpaksa menanggung kekalahan ketika menentang Brighton pada aksi kelmarin. – AFP

BRIGHTON – Kerapuhan benteng pertahanan menjadi punca Manchester United kempunan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata ketika tewas 1-2 kepada Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex malam kelmarin.

Kekalahan itu merencatkan permulaan baik yang dicatat United pada musim ini selepas memulakan kempen 2024/25 dengan langkah kanan selepas menewaskan Fulham 1-0 di Old Trafford minggu lalu.

Pengurus United, Erik Ten Hag meluahkan kekecewaan atas kekalahan tersebut, lebih-lebih lagi beliau menganggap pemain-pemainnya melepaskan dua gol yang tidak sepatutnya diberikan kepada pasukan lawan.

“Ia sangat mengecewakan, terutamanya ketika anda sedang menguasai perlawanan tersebut. Kami bermain cukup baik dari segi penguasaan bola, tetapi malang sekali apabila melepaskan dua gol yang terlalu mudah.

“Saya fikir kami semua perlu duduk semeja dan berbincang mengenai perkara ini. Saya mahu semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini, terutamanya bagi memastikan pintu gol tidak dibolosi,” katanya.

Pada perlawanan itu, Brighton terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-32 menerusi Danny Welbeck dan disamakan kedudukan oleh Amad Diallo (minit-60) sebelum Joao Pedro memastikan kemenangan tuan rumah menerusi jaringan di masa kecederaan.

“Kami ada beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol di separuh masa pertama menerusi Amad (Diallo) dan Mason Mount. Kami sepatutnya memanfaatkan peluang itu untuk mendapatkan tiga mata,” ujar Ten Hag. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *