EPL: Man. City terkesan hilang Rodri

MANCHESTER CITY 1

GVARDIOL (tengah) meledak gol pembukaan buat City ketika mereka terikat menentang Newcastle di St. James Park kelmarin. – AFP

NEWCASTLE – Manchester City menerima isyarat penting bahawa mereka perlu segera mencari jalan penyelesaian terhadap kehilangan pemain tengah, Rodri yang mengenai kecederaan dan dijangka tersisih sepanjang musim ini.

Rodri yang merupakan tonggak penting dalam strategi permainan Pep Guardiola terpaksa disisihkan sepanjang musim ini selepas mengalami kecederaan anterior cruciat ligamen (ACL) dan terpaksa menjalani pembedahan.

Kehilangan itu pastinya membuatkan Guardiola resah biarpun dua pemain mereka, Rico Lewis dan Mateo Kovacic beraksi dengan baik ketika diikat Newcastle United 1-1 pada aksi di St. James Park kelmarin.

Menurut Guardiola, Lewis dan Kovacic berjaya memberikan aksi terbaik, namun mereka tidak memiliki kelebihan seperti mana Rodri yang berjaya membentuk gandingan sempurna bersama Bernardo Silva.

“Saya tahu anda akan terus bertanya saya mengenai ketiadaan Rodri. Kova, Bernardo dan Rico berjaya mempamerkan aksi baik, tetapi saya perlu mencari solusi. Saya sangat ‘rindukan’ Rodri.

“Saya melihat dan mengenali pasukan ini dengan baik. Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol dan di bahagian tengah kami cukup kuat, tetapi kami ada masalah apabila bola berada di bahagian belakang.

“Adakalanya perkara ini akan berlaku dan kami perlu segera menyesuaikan diri. Kami mempunyai peluang, tetapi ini adalah stadium mereka dan mereka juga mendapat peluang, jadi saya gembira dengan satu mata ini,” jelas Guardiola.

Perlawanan itu menyaksikan pemain pertahanan, Josko Gvardiol membuka tirai jaringan untuk City, namun Newcastle berjaya menyamakan kedudukan menerusi Anthony Gordon yang menyempurnakan sepakan penalti. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *