LIVERPOOL – Bintang Liverpool, Mohamed Salah dilaporkan lebih cenderung untuk meneruskan karier di Eropah walaupun timbul spekulasi perpindahan ke kelab Liga Arab Saudi ketika kontraknya dengan The Reds hampir tamat.
Sejak tiba di Anfield pada 2017, Salah telah menjadi tonggak utama selepas membantu The Reds memenangi trofi utama seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara, serta menjaringkan 214 gol dalam 352 perlawanan untuk kelab Merseyside tersebut.
Meskipun kelab-kelab di Arab Saudi menunjukkan minat yang mendalam, terdapat laporan bahawa Paris Saint-Germain (PSG) dan Juventus juga sedang meneroka potensi perpindahan pemain tersebut.
Biarpun usianya kini 32 tahun, Salah tetap menunjukkan prestasi luar biasa dan mampu mengekalkan prestasi bertaraf dunia seiring dengan bintang seperti Cristiano Ronaldo yang masih beraksi cemerlang di peringkat tertinggi walaupun menghampiri usia 40 tahun.
PSG yang kehilangan Kylian Mbappe kepada Real Madrid, dilaporkan berminat untuk mendapatkan Salah sebagai pengganti, sementara Juventus juga menjadi pilihan menarik buat Salah yang mungkin tertarik untuk kembali ke Serie A selepas bersama AS Roma sebelum ini.
Selepas menguasai bola sepak Inggeris, Salah mungkin mahu menguji kemampuannya di liga utama Eropah yang lain, walaupun dia pernah beraksi di Itali bersama Fiorentina dan Roma sebelum ini. – AGENSI