EPL: Antony masuk senarai ganti Salah

LIVERPOOL 8

ANTONY

LIVERPOOL – Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilapor pernah mengemukakan cadangan kepada pihak pengurusan pasukan itu untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Manchester United.

Ketika spekulasi mengenai masa depan bintang utama The Reds, Mohamed Salah kira-kira tiga tahun lalu, Klopp memberi cadangan supaya pasukan itu cuba mendapatkan khidmat Antony yang kini berdepan kesukaran dalam kariernya di Old Trafford.

Ketika ini, rundingan mengenai kontrak baharu Salah selepas baki perjanjian semasanya berakhir hujung musim ini dilihat berdepan kesukaran dan masih jauh daripada kemungkinan ia dimuktamadkan.

Sebelum Salah menandatangani kontrak pada Julai 2022, Klopp memberi cadangan kepada Liverpool untuk cuba mendapatkan Antony dari Ajax Amsterdam, namun United berjaya melengkapkan perpindahan pemain tersebut kira-kira lapan minggu selepas idea tersebut timbul.

Antony ketika ini berdepan kesukaran untuk memberikan impak buat United apabila hanya meledak 12 gol dalam 87 penampilan setakat ini dan hanya diturunkan sebagai pemain gantian dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Kehadiran Ruben Amorim sebagai pengendali baharu United memberi peluang terbaik buat Antony membuktikan kemampuan, namun sekiranya gagal dia mungkin perlu meninggalkan kelab seawal Januari ini. – AGENSI