Enjin pesawat terbakar selepas langgar burung

enjin pesawat terbakar

Tangkap layar menunjukkan pesawat Boeing 787 itu berpatah balik ke lapangan terbang dengan salah satu enjinnya terbakar. – The Sun UK

ROM – Sebuah pesawat Hainan Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino, Itali selepas salah satu enjinnya terbakar akibat terlanggar kawanan burung, lapor akhbar The Sun UK semalam. 

Kejadian berlaku selepas pesawat Boeing 787 itu berlepas dari Itali sebelum menuju ke bandar Shenzhen di China. 

Pengawal Pantai Itali berkata, pesawat itu membawa 249 penumpang dan 16 kru penerbangan semasa kejadian. 

“Pesawat itu dipercayai terlanggar seekor burung. Ia merupakan perkara biasa tetapi boleh menjadi ancaman besar kepada keselamatan pesawat,” jelasnya. 

Seorang pegawai Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino berkata, pesawat itu terpaksa membuang bahan api ke laut sebelum berpatah balik dan mendarat cemas di lapangan terbang. 

“Tiada kelewatan kepada trafik udara di Fiumicino,” tambahnya. – AGENSI